BOSUN PIPE
Meniup paip bosun adalah kaedah menyampaikan arahan di dalam angkatan laut. Setiap pelaut perlu tahu cara untuk menggunakan paip bosun. Penggunaan paip bosun bermula sejak zaman Perang Salib lagi (seawal tahun 1248). Pada zaman awal, paip bosun digunakan sebagai tanda pangkat kerana fungsinya untuk menyampaikan arahan. Untuk beberapa tahun, paip bosun telah dijadikan lencana untuk pejabat Lord High Admiral of England dan pewarisnya sehingga tahun 1562.
Paip bosun dipegang di antara jari telunjuk dengan ibu jari. Kedudukan ibu jari adalah hampir kepada ‘shackle’. Bahagian sisi ‘buoy’ terletak pada tapak tangan. Jari-jari lain terletak di bahagian atas ‘gun’ dan ‘buoy’ dengan posisi yang membolehkan saiz bukaan ‘hole’ diubah mengikut keperluan. Pastikan jari-jari tidak menutup terus ‘hole’ untuk mengelakkan paip bosun menjadi langsung tidak berbunyi.
Paip bosun ditala dengan mengubah saiz bukaan ‘hole’ pada ‘buoy’. Apabila ‘hole’ terbuka sepenuhnya, tiupan akan menghasilkan nada rendah. Apabila sebahagian ‘hole’ ditutup, tiupan akan menghasilkan nada tinggi. Terdapat tiga jenis ton tiupan, iaitu tiupan datar (plain), tiupan siul (warble) dan tiupan getar (trill):
-
Tiupan datar (plain): Tiupan datar dihasilkan dengan tiupan yang padu secara terus dan konsisten.
-
Tiupan siul (warble): Tiupan siul dihasilkan dengan mengalihkan tangan secara cepat dan berulang kali antara posisi ‘low note’ dan ‘high note’, menyebabkan terhasilnya bunyi siulan seperti bunyi burung.
-
Tiupan getar (trill): Tiupan getar dihasilkan dengan menggetarkan lidah semasa meniup, menghasilkan bunyi getaran huruf ‘R’.