PAKAIAN SERAGAM PENGAKAP LAUT
DEFINISI
-
Lilitan tali putih melambangkan persaudaraan Pengakap.
-
Latar belakang biru melambangkan samudera luas.
-
Logo Pengakap Malaysia melambangkan Pengakap Laut adalah sebahagian daripada Persekutuan Pengakap Malaysia.
-
Pelampung merah putih dengan tulisan PENGAKAP LAUT melambangkan kepentingan aspek keselamatan di air kepada Pengakap Laut.
-
Sauh melambangkan keterlibatan Pengakap Laut dalam komuniti maritim.
-
Kemudi kapal melambangkan tujuan asas Pengakap Laut iaitu memberikan hala tuju kehidupan menerusi latihan kemahiran kepelautan dan membina sahsiah generasi muda.
Lambang Pengakap Laut Malaysia ini telah ditetapkan sebagai tidak boleh dipakai pada uniform. Lambang ini cuma boleh digunakan pada t-shirt aktiviti atau baju korporat sahaja. Pengenalan sebagai Pengakap Laut adalah memadai sekadar memakai uniform putih.
​
​
PENGAKAP MUDA LAUT
Secara umumnya, Pengakap Muda Laut memakai kemeja berwarna putih dengan leher cekak musang dan dua poket di bahagian dada serta seluar panjang berwarna biru tua. Pengakap Muda Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan pendek. Pengakap Muda Laut wanita memakai baju kemeja putih berlengan panjang tanpa cekak berbutang di pergelangan tangan.
​
PENGAKAP REMAJA LAUT
Secara umumnya, Pengakap Remaja Laut memakai kemeja berwarna putih dengan leher cekak musang dan dua poket di bahagian dada serta seluar panjang berwarna biru tua. Pengakap Remaja Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan pendek. Pengakap Remaja Laut wanita memakai baju kemeja putih berlengan panjang tanpa cekak berbutang di pergelangan tangan. Pemakaian topi pelaut adalah tradisi Pengakap Laut di seluruh dunia. Topi pelaut ini sesuai dipakai untuk acara-acara rasmi khasnya Majlis Penyampaian Anugerah Ketua Pengakap Negara dan Anugerah Pengakap Raja. Seseorang Pengakap Remaja yang telah dianugerahkan Anugerah Ketua Pengarah Negara (Rambu Pengakap Remaja) boleh memakai topi pelaut sewaktu menerima anugerah dan menghadiri acara-acara rasmi.
​
PENGAKAP KELANA LAUT
Secara umumnya, Pengakap Kelana Laut memakai kemeja berwarna putih dengan leher cekak musang serta seluar panjang berwarna biru tua. Semasa latihan, Pengakap Kelana Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan pendek dengan dua poket di bahagian dada. Semasa acara rasmi, Pengakap Kelana Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan panjang dengan cekak berbutang di pergelangan tangan dan dua poket di bahagian dada. Pengakap Kelana Laut wanita pula memakai kemeja yang sama semasa latihan atau acara rasmi, iaitu baju kemeja putih berlengan panjang tanpa cekak di pergelangan tangan berserta dua saku di bahagian bawah kemeja. Penutup kepala untuk Pengakap Kelana Laut lelaki dan wanita semasa latihan ialah beret berwarna biru tua. Bagi acara rasmi, penutup kepala peak cap untuk Pengakap Kelana Laut lelaki dan bowler hat untuk Pengakap Kelana Laut wanita. Pengakap Kelana Laut yang telah menerima Anugerah Baden Powell akan memakai Epolet Anugerah Baden Powell dan Rambu Pengakap Kelana yang berwarna merah pada lengan kiri. Selain itu, Pengakap Kelana Laut tersebut perlu memakai Lencana Nakhoda Kelas I pada dada kiri (di atas poket kiri) dan lencana-lencana Pengakap Kelana pada lengan kiri. Dalam sesi latihan, aksesori yang disebutkan di atas akan dipakai bersama set pakaian seragam yang ditetapkan untuk latihan dan aktiviti. Dalam acara rasmi, aksesori yang disebutkan di atas akan dipakai bersama set pakaian seragam yang ditetapkan untuk acara rasmi.
​
PEMIMPIN PENGAKAP LAUT
Secara umumnya, Pemimpin Pengakap Laut memakai kemeja berwarna putih dengan leher cekak musang serta seluar panjang berwarna biru tua. Semasa latihan, Pemimpin Pengakap Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan pendek dengan dua poket di bahagian dada. Semasa acara rasmi, Pemimpin Pengakap Laut lelaki memakai baju kemeja putih berlengan panjang dengan cekak berbutang di pergelangan tangan dan dua poket di bahagian dada. Pemimpin Pengakap Laut wanita pula memakai kemeja yang sama semasa latihan atau acara rasmi, iaitu baju kemeja putih berlengan panjang tanpa cekak di pergelangan tangan berserta dua saku di bahagian bawah kemeja. Penutup kepala untuk Pemimpin Pengakap Laut lelaki dan wanita semasa latihan ialah beret berwarna biru tua. Bagi acara rasmi, penutup kepala peak cap untuk Pemimpin Pengakap Laut lelaki dan bowler hat untuk Pemimpin Pengakap Laut wanita.
​
T-SHIRT RASMI
Baju-T aktiviti adalah pakaian gantian yang boleh dipakai apabila menjalankan aktiviti lasak seperti berkayak, berkhemah dan sebagainya. Baju-T aktiviti Pengakap Laut boleh dipakai oleh semua peringkat meliputi Pengakap Muda Laut, Pengakap Remaja Laut, Pengakap Kelana Laut, Pemimpin / Pesuruhjaya Pengakap Laut dan Jawatankuasa Kumpulan / Ahli Majlis dari kalangan Pengakap Laut. Baju-T aktiviti didatangkan dalam dua versi iaitu lengan pendek dan lengan panjang. Kedua-dua versi ini adalah berkolar.
​
KEMEJA KORPORAT RASMI
Kemeja korporat adalah pakaian gantian yang boleh dipakai apabila mewakili Pengakap Laut ke acara-acara seperti mesyuarat dan pameran. Kemeja korporat Pengakap Laut hanya boleh dipakai oleh Pengakap Kelana Laut dan Pemimpin / Pesuruhjaya Pengakap Laut sahaja. Bagi lelaki, kemeja korporat berlengan pendek dan mempunyai dua poket di bahagian dada. Bagi wanita, kemeja korporat berlengan panjang dan tidak mempunyai poket.