top of page

SEJARAH PENGAKAP LAUT DUNIA

Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell (BP) lahir di dalam sebuah keluarga yang terlibat secara intensif di dalam aktiviti marin dan kelautan. Kematian bapanya ketika berusia 3 tahun menyebabkan Lord BP  begitu rapat dengan datuk di sebelah ibunya, Laksamana William Henry Smyth. Datuknya memulakan kerjaya sebagai tentera laut bermula dari bawah dan berjaya menjadi Laksamana dalam 1863. Beliau memainkan peranan penting dalam Perang Nepoleon melawan Perancis. Selain itu, datuknya adalah seorang ahli astronomi dan hidrografi yang terkenal. Mare Smythii iaitu suatu dataran luas dan gelap di khatulistiwa Bulan telah dinamakan sempena nama beliau.

​

Abang kepada Lord BP iaitu Warington Baden Powell yang lebih tua 10 tahun daripadanya memulakan kerjaya sebagai “Merchant Marine”. Warington Baden Powell adalah pengasas kepada pelayaran keno dan menulis sebuah buku bertajuk “Canoe Travelling: and Practical Hints on Building and Fitting Canoes”. Beliau menjalani latihan kelautannya di HMS Conway selama 3 tahun sebelum menyertai Hotspur pada 1864. Warington menyertai HMS Conway pada 1861 ketika berusia 14 tahun. HMS Conway adalah bekas kapal tentera laut yang berlabuh secara kekal dan digunakan sebagai tempat latihan.

Warington Baden Powell, abang kepada Lord Baden Powell yang membantu mengasaskan Pengakap Laut

Sekitar tahun 1872, Lord BP dan abang-abangnya membuat ekspedisi menjelajah negaranya menggunakan keno. Mereka berkeno menuju ke arah punca sungai Thames hingga tiba di Wales. Dalam ekspedisi ini, mereka berkhemah dan memasak makanan menggunakan unggun. Warington menukar pekerjaannya ke bidang undang-undang pada 1873 dan diterima menjadi King Counsel. Beliau memulakan usaha merekabentuk dan mengawasi pembinaan kapal layar miliknya yang dinamakan Diamond.

​

Dalam tahun 1908, lencana “Seaman badge” adalah antara lima lencana kemajuan terawal yang dikeluarkan untuk ahli Pengakap. Lord BP sering menekankan bahawa “seorang Pengakap hendaklah tahu mengendalikan bot dan membawanya bersebelahan dengan kapal secara selamat”.

 

Pada 1909, Lord BP telah mengadakan perkhemahan Pengakap yang ketiga di Buckler’s Hard, Beaulieu River dan memberi penekanan kepada aktiviti-aktiviti air. Perkhemahan ini menjadi permulaan tidak rasmi untuk Pengakap Laut Perkhemahan di Beaulieu menyedarkan Lord BP tentang potensi dan peranan Pengakap Laut. Oleh itu, beliau mengamanahkan kepada abangnya Warington untuk menulis buku panduan tentang Pengakap Laut. Warington telah membentangkan ideanya tentang Pengakap Laut di dalam Kursus Pemimpin Pengakap di London pada Januari 1911. Sebaik sahaja Pengakap Laut diumumkan, banyak pasukan Pengakap terutamanya di kawasan pantai mahu bertukar kepada skim baru ini. Ramai bekas pelayar dan pelaut yang berminat untuk menjadi Pemimpin Pengakap Laut. Antara pasukan-pasukan awal Pengakap Laut di England ialah 1st Cleethorpes, 1st Ratcliffe, London, 1st Skegness, Hamble Sea Scouts dan Gibraltar Sea Scouts.

​

Warington Baden Powell telah mengeluarkan buku panduan untuk Pengakap Laut bertajuk “Sea Scouting and Seamanship for Boys” pada tahun 1912. Di dalam bukunya, Warington menyatakan dengan jelas bahawa “Pengakap Laut adalah cabang kepada pergerakan Pengakap” & “Pengakap diutamakan dahulu, selepas itu barulah pelaut”. Undang-undang, organisasi, lencana, pangkat, pakaian seragam dan nasihat tentang latihan dinyatakan dengan jelas: “Pengawal pantai atau pesara tentera laut akan digunakan untuk menguji lencana. Adalah dinasihatkan supaya setiap kumpulan melantik seorang 'bapa laut (sea dad)' iaitu sama ada pengawal pantai, bekas pegawai tentera laut atau kelasi kapal nelayan.”

​

Buku panduan Pengakap Laut yang kedua ialah “Seamanship for Scouts” yang ditulis oleh Lt. Stuart Garnett pada 1915 di mana buku ini adalah lebih mendalam berbanding buku pertama. Warington Baden Powell meninggal dunia pada 24 April 1921 akibat penyakit tuberculosis. Dipercayai bahawa penyakit ini menghalang beliau memegang jawatan sebagai Chief Sea Scouts.

Kulit buku "Sea Scouting and Seamanship for Boys" yang ditulis oleh Warington Baden Powell

Menjelang Perang Dunia Pertama pada 1914, ramai Pengakap Laut telah dilatih oleh Lord BP menjadi Pengawal Pantai (Coast guard). Headquarters Gazette (edisi September 1914) melaporkan bahawa seramai 1300 orang Pengakap Laut telah dilatih menjadi Pengawal Pantai dan akan terus berkhidmat selagi perang belum tamat. Sehingga 1919, seramai 25,000  orang Pengakap Laut telah menabur khidmat sebagai Pengawal Pantai dalam Perang Dunia Pertama. Terdapat ramai Pengakap Laut yang cedera dalam peperangan ini. Pada 19 Disember 1918 bertempat di Istana Buckingham, King George V mengadakan pemeriksaan kehormat kepada Pengakap Laut  yang bertugas sebagai Pengawal Pantai dan melahirkan rasa hormat dan kagum baginda kepada jasa-jasa mereka.

​

Semasa Perang Dunia Kedua pula, Pengakap Laut di Amerika Syarikat telah berkhidmat sebagai tentera laut dan marin. Menurut Laksamana Armada Chester Nimitz yang mengetuai angkatan laut AS dalam Perang Dunia Kedua: “Those who were Sea Scouts were better trained and equipped to win out over the enemy and elements”.

​

bottom of page